Selasa, 4 Ogos 2009

Mencari Erti Sebenar 'Fikrah'

Salam,

Menceritakan mengenai 'fikrah' Islam ni, aku sudah terdedah sejak aku di alam persekolahan, ketika itu aku memasuki jemaah dan usrah, kerana amat tertarik mengenai agama Islam. Apa yang sering dikatakan oleh senior-senior sebelum ini, jemaah ini ibarat sebuah kapal yang sedang belayar, dan ianya dapat mengharungi gelombang-gelombang. Maksudnya, jemaah ini merupakan satu saluran untuk menghadapi dugaan dunia luar.

Namun ketika aku menyambung pengajian pada peringkat tinggi, aku tidak menyertai usrah, namun ini bukan beerti aku tidak bergaul dengan 'budak-budak surau'. Ketika ini, aku suka bergaul dengan rakan sekuliah, sebenarnya diantara rakan sekuliah aku, ada yang dari SEMAZA. Tok Jiring, dan juga KIK. Mereka sendiri pun faham tentang fikrah ini, namun tidak menyertai aktiviti usrah di ITM (ketika itu). Ketika ini, aku sedar ada benarnya kata senior aku, disebabkan tidak berjemaah menyebabkan kita sering lalai. Tetapi, disebalik itu aku melihat sesuatu tentang ’budak-budak surau’. Pertama, mereka sering bergaul dengan golongan mereka, kedua, ramai juga yang ekstrim dalam wadah perjuangan mereka sehinggakan akademik mereka hancur, ketiga ada yang terlalu lantang bercakap sehinggakan orang tidak menyukai mereka. Keempat, ada segelintir mempunyai niat tersembunyi disebalik wadah ini. Ini merupakan padangan peribadi aku, bukan untuk berprasangka buruk.

Selepas itu, aku berfikir ketika aku di dalam jemaah, aku tahu ramai yang tidak suka akan kami, dan sinilah aku sedar, pandangan-pandangan mereka. Sesungguhnya, adakalanya, kita tidak sedar mengenai sesuatu ketika di dalam, tetapi bila diluar barulah kita menyedari presepsi orang ramai mengenai jemaah.

Aku mula menjauhi jemaah, sehingga aku melanjutkan pengajian pada sarjana Muda di Shah Alam, ketika ini, aku hanyut dalam gelombang, hanya menumpukan mengenai pelajaran, dan membiar jiwa kosong tidak bersantap.

Keadaan ini berterusan sehingga aku bekerja, hinggalah ketika aku mengalami kejatuhan dalam hidupku, dan ketika itu aku tercari-cari sebab mengapa dan kenapa. Dalam proses, bangkit aku mula mendampingi orang-orang yang berilmu. Terutamanya, ketika aku berkawan dengan Ustaz Saufi ketika aku menjadi guru ganti di SMI Aman, KB. Berkawan dengan orang yang soleh, aku bagai mendapat tempias dari kesolehannya dan di sini memulangkan memori lama ketika aku berjemaah. Setelah itu, aku berjumpa dengan Tuan Haji Idris, Ketua Iman UiTM Shah Alam, dia menegaskan, jika seekor kambing sesat di padang pasir senanglah untuk dibaham oleh serigala, tapi jika sekawan agak sukar bagi sang serigala membaham mereka. Dan aku faham apa yang di katakan oleh nya dan ia terjadi pada diriku.

Namun, bila bercerita dalam konteks berkumpulan, atau jemaah, aku mula mencari dimanakah aku, aku mendengar satu hadis yang menceritakan di akhir zaman ini umat Islam akan berpecah kepada 73 golongan, dan 1 golongan yang akan masuk syurga. Dengan kefahaman, yang cetek aku mencari dimanakah satu golongan ini. Jika dilihat gerakan Islam pada hari ni terlampau banyak dan tidak terhitung dengan jari. Aku ada berkawan dengan golongan ’tabligh’ malah aku mengakumi Prof Ku Halim yang aktif dalam tabligh, aku melihat ada golongan tajdid, kaum muda yang menolak bidaah, ada juga yang dikatakan tarekat, serta jemaah spt ISMA, ABIM, JIM dan sebagainya. Malah ada yang digelar muktazilah, salaf, syiah, hizbut tahrir dan banyak lagi. Jika dikira mereka ini gerakan Islam, tapi seolah-olah mereka dalam liga berlainan. Aku mula pening, aku pernah diberitahu oleh seorang kawan yang menyertai tarekat, dia mengatakan dia tidak boleh berjumpa dengan golongan tabligh kerana, pembawakan mereka berbeza. Aku tanya diriku, kenapa perlu saling menolak antara satu sama lain, sedangkan kedua-duanya memperjuangkan Islam.

Aku mula mencari jawapan, aku sering membaca blog, ada yang takfir-menakfir, golongan ini sesat, yang ini salah sehinggakan lebih memeritkan seorang Dr menyaman seorang ustaz kerana berbeza fahaman. Ianya membuat aku keliru.

Ketika ini aku hanya memerhati, sehingga pada satu hari ada seorang muslimat mengatakan bahawa fikrah aku tidak sama dengan fikrahnya. Kemudian, aku mula mencari apa erti ’fikrah’ dalam erti kata sebenar sedangkan perkataan ini sudah aku ketahui dahulu. Lantas, ku berjumpa dengan Ustaz Azman yang merupakan rakan sepejabat, dan boleh dikatakan guruku. Aku mendengar pandangannya, mengenai fikrah Islam dan dia mengatakan fikrah aku dalam keadaan yang betul dan tidak terpesong, dengan menerangkan prinsip seperti berikut;

1. RABBANIYYAH
Islam datang dari Allah yang bersifat Rab.
Akan melahirkan mukmin bersifat Rabbani iaitu beriltizam dengan Islam dari segi iktikad, pemikiran, cita-cita, percakapan, dan perbuatan.
Sumber Rabbani; asas pembentukan dan perkembangan individu dan masyarakat.
2. SYUMUL
Lengkap dan mencakupi (menyeluruh)
a) dasar dan teras manhaj.
b) kesan pembentukan terhadap manusia yang menerimanya.
c) Pelaksanaan untuk mencapai matlamatnya.
3. INQILABIYAH
Melaksanakan perubahan total iaitu dengan mencabut dan meruntuhkan jahiliyyah serta membangunkan atau menegakkan Islam di atas keruntuhan jahiliyyah itu. Mesti bersifat tajarrud, iaitu membebaskan diri daripada prinsip lain daripada Islam.
4. ALAMIYAH
Dakwah untuk semua manusia, tidak kira bangsa, warna kulit dan keturunan.
Nilai-nilai Islam bersifat sejagat. Menjamin hak asasi manusia.
5. WAQI’IYYAH
Praktikal bukan utopia, semula jadi atau mampu diamalkan oleh semua manusia. (berpijak di bumi nyata)
6. THABAT DAN MURUNAH
Tetap dan anjal. Tetap dari segi prinsip tetapi boleh berubah dari segi pelaksanaannya.
7. Ciri-ciri lain….
Risalah dan jalan penyampaian jelas.
Bergerak mengikut kemampuan.
Melaksanakan hazar (waspada).
Memudah dan jangan menyusahkan.
Tadrij (beransur-ansur)
Menimbang kemaslahatan dakwah demi memenuhi tuntutan syariat.

Ustaz Azman, menekankan aku mengenai konsep ke 6, Thabat dan Murunah, tetap dan anjal. Akhirnya, aku sedar approach dan pendekatan boleh berbeza tetapi prinsip mestilah sama. Kita mesti melihat secara holostik dan keseluruhan, meskipun berbeza pendekatan namun matlamat mereka sama. Cuma masalah hari ini, ada golongan yang jumud mengakatan hanya mereka betul lantas menyalah gerakan lain. Aku bertanya lagi, perlukan aku menyertai jemaah, dia mengambil contoh solat, boleh berjemaah dan sendirian, lebih afdzal berjemaah, namun tidak salah berseorangan.

Mungkin apa yang dimaksudkan oleh muslimat itu bagi pandangan peribadi Ustaz Azman, fikrah aku tidak sama dengan jemaah yang sertainya. Bila dalam jemaah 'baiyah' itu penting dalam menjamin kesepaduan sesuatu jemaah, bukan beerti fikrah yang aku ini menyimpang dari fikrah Islamiah.

Wasallam.

3 ulasan:

  1. Assalamualaikum, mohon kebenaran untuk saya linkkan blog saudara dengan blog saya. Tentang hajat saudara untuk beri pandangan Insya Allah saya akan hantar kemudian.

    BalasPadam
  2. moga Allah memberikan cahayaNYA untuk memahami dan mendapat fikrah Islam yang sebenar..insya Allah..doakan saya jua

    BalasPadam